Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera :)

Monday, October 18, 2010

Pesona Dusta


Buatmu~



Tewas pada panahan sakti,
Dari pancaran Sang Bidadari,
Engkau tahu dia istimewa,
Kembangnya dicemburui seribu bunga,
Harumnya memenuhi ruang angkasa raya.

Engkau kaku berdiri,
Kagum pada pesona yang menggoda,
Bagaikan menyeru semangat panglima,
Lantas kaususun langkah tanpa lengah,
Penuh madah bersulam tinta,
Kelihatan biasa tapi berbisa.

Sayang seribu kali sayang,
Keyakinanmu yang dulunya ampuh,
Kian lama kian runtuh.
Mana tidaknya...
Mencari kesempurnaan pada insan,
Ibarat bersampan di tengah lautan.

Duhai panglima yang setia,
Begitulah hakikat sandiwara dunia,
Itulah tayangan pesona dusta,
Tenang...
Usah kaubimbang bergundah gelana,
Bermuram durja saat terluka...

Duhai panglima yang kucinta,
Fitrah insani,
Sarat kekurangan untuk dibaiki,
Jika engkau mahu berdampingan,
Usah diharap pada kesempurnaan,
Kelak bagimu jalan buntu,
Dalam sesakan nafas keliru.

Kuyakin duhai panglima,
Engkau adalah khalifah sejati,
Yang pasti mendapatkan ketenangan abadi.

3.34 p.m.

Sunday, October 17, 2010

Berbeza Tapi Sama

Siang dan malam. Dua perkara berbeza, tapi tetap saling faham untuk memainkan peranan masing-masing dalam melakarkan lukisan alam.

Mereka setia silih berganti, walau hanya sempat bersapa saat senja dan hening pagi. Masing-masing dengan cara yang tersendiri membawa manfaat kepada isi dunia.

Manusia... juga mempunyai sifat dan peranan berbeza.

Mencari titik persamaan dalam perbezaan adalah mustahil.
Berusahalah untuk mencari titik persefahaman.

Kerana manusia saling melengkapi. :)

Walaupun kita berbeza, tapi matlamat kita sama.

Saturday, October 2, 2010

Setiap yang Dipinjam Harus Dipulangkan

Meninggalkan atau ditinggalkan. Dua perkara yang sama untuk merasai sebuah perpisahan.
Yang meninggalkan hanya pergi dan berlalu begitu sahaja namun yang ditinggalkan bakal merasai kekosongan dan ruang sepi yang sayu.

Begitulah perjalanan setiap manusia. Yang hidup bakal mati dan yang mati bakal dipersoalkan tentang pengisian kehidupan yang dilalui.

Semestinya yang hidup harus terus hidup dalam mencari makna kebahagiaan. Pada saya, kebahagiaan adalah ketenangan. Merasai ketenangan bukanlah apabila hati merasa puas, tetapi apabila hati berasa cukup dengan nikmat yang dikurniakan.

Oleh itu, setiap yang dipinjam harus dipulangkan. Usah dicintai isi dunia sepenuh jiwa kerana suatu hari kita bakal meninggalkannya. Ingatlah, dunia hanya pinjaman sebagai jambatan ke akhirat. Wallahu A'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...