Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera :)

Friday, September 29, 2023

Utusan Cinta Buat Suleyman 23

Anak soleh ibu Suleyman

Sayang ibu, jika ikut resmi padi, 

Kian berisi kian menunduk,

Usahlah menunduk hanya pada duniawi yang Suleyman kagumi,

Menunduk lah sejatinya kepada Allah cuma,

Memaafkan itu sukar jika hatimu terjulang tinggi meski dahi bersujud ke bumi.

Taatlah bersolat sayangku, 

Sujudlah kepada Allah dengan menghadapkan hati serendahnya kepada Allah.

Moga jalan hidupmu yang sukar pada pandangan manusia,

Dimudahkan Allah,

Tenang dan Lapang

Carilah Allah

Yakinlah.. dengan keajaiban-keajaiban yang bentuknya hanya Allah MahaTahu.



***


Harini ibu masih di pejabat, waktu sekarang, kat rumah tokwan tengah sibuk semua prepare BBQ untuk malam ni, ramai ada kat rumah sebab semalam sambutan maulidur rasul


Video call WahatsApp dengan Suleyman sekejap tadi sangatlah manis, Sayang ibu ni tengah main beberapa biji bawang, Rajin tuu tolong kat dapoq.. Comel <3


Moga Allah sentiasa bimbing dan pelihara sayang ibu dunia akhirat, Aamiin..  

Monday, September 18, 2023

Utusan Cinta Buat Suleyman 22

Anak soleh ibu Suleyman,


Ada air mata yang bergenang 

Bila ibu cuma keluar kereta untuk beli makanan bungkus :)


Suleyman setahun, 3 bulan 16 hari

Ibu terpikir, dalamnya cinta Suleyman kat ibu

Jiwa yang telalu bersih

Mengalir airmata cuma dengan peninggalan sekejap


Perasaan memerlukan itu sangat menyentuh Suleyman

Perasaan diperlukan itu sangat mengharukan ibu

Ke depan nanti Suleyman akan membesar jadi hamba Allah yang dewasa


Peninggalan sekejap bukan lagi sesuatu untuk ditangisi

Kerana kita ada pertemuan abadi di sana nanti

Ibu doakan Allah sentiasa pelihara anak ibu

Membesar sebagai hamba Allah yang bersyukur dan taat padaNya


Perasaan apapun yang dirasai Suleyman kelak

Usah sedikitpun mematahkan istiqamah Suleyman sujud pada Dia

Sentiasa, kembali pada Allah.

 

Sunday, September 3, 2023

Utusan Cinta Buat Suleyman 21

 Anak soleh ibu Suleyman,

Tenang

Adalah sedar dan syukur

Bahawa Allah telah meletakkan Suleyman

Di tempat yang TERBAIK,

pada saat yang terbaik.


Buang semua ragu

Tarik nafas dan tegakkan tubuhmu 

dalam kerendahan hati sebagai seorang hamba


Saturday, September 2, 2023

Utusan Cinta Buat Suleyman 20

 Anak soleh ibu Suleyman

Tak semua keadaan menempatkan kita dalam keadaan waras


Ada waktunya kita teramat lupa dan maha pentingkan diri sendiri, tak sedar tersasar dari landasan baik


Sempit dan terhimpit


Bertandanglah ke rumah Allah jika Suleyman dah lama tak kunjung


Seberat manapun langkahmu sayang ibu, Bersujudlah dan cari pimpinan Allah


Pasti tenang, Pasti lapang

Biarpun tersasarnya berkali-kali..

Sejuta barangkali


Rasa kerdil di hadapan Allah itu baik,

Tapi rasa tidak akan diampuni oleh Allah itu salah, sayangku..

Teguhkan yakinmu yang Allah Maha Pengampun, Allah Yang Paling Sayang Suleyman <3


Tunduk sujud pada Dia

Mohon Keampunan Dia

Dia Yang Maha Sempurna


Doa ibu sentiasa mengiringi langkahmu sayangku

Tapi ibu juga manusia yang berbuat salah

Minta pada Dia.


Tinggikan Allah setingi-tingginya paling tinggi.


Friday, September 1, 2023

Utusan Cinta Buat Suleyman 19

 Anak soleh ibu Suleyman

Kesihatan bukan semata-mata apa yang kita makan dan senaman fizikal


Peliharalah pa yang masuk ke dalam tubuh, baik melalui pendengaran, percakapan, pemikiran malahan penglihatan


Jauhi yang Haram, pelihara kesucian sumber rezeki, pelihara kesihatan tubuh Suleyman, pasangan, anak-anak dan ahli keluarga dengan sumber rezeki bersih


Iya, manusia tak mungkin sempurna ayang, mana mungkin sempurna, tapi tegaslah dalam pendirian menjauhi yang Allah larang


Yang mana Allah suka ya, Suleyman :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...